Name:
Location: Pasir Mas, Kelantan, Malaysia

An ordinary people

Sunday, November 08, 2009

Pengungsi

akulah pengungsi
akulah pelarian
yang mencari sempadan hidup
dari zagreb ke croatia

namaku jasmina
aku masih muda
dan pernah bersuami
tapi aku kini janda
15 hari lalu
mereka bunuh suamiku
mereka bunuh di depan mataku

namaku jasmina
aku masih muda
rambutku blonda
tapi mataku tanpa warna

akulah jasmina
aku tidak berdaya
melawan takdir itu

(dengan wajah berat dan lusuh
dia terus bercerita
perjalanan yang panjang
pengalaman yang pedih
awan gelap di kepala
makin memberat
kiri kanan pohonan resah
dari zagreb ke croatia
dia terus berkisah)

akulah jasmina
yang tidak berdaya
dan tiga serdadu serbia itu
tiba-tiba bertukar
menjadi serigala yang lapar
lalu dikunyahnya tubuhku hatiku jantungku
tapi bukan imanku

akulah jasmina
aku masih muda
aku pernah melihat cakrawala
pernah melihat padang-padang hijau
bertukar menjadi merah

akulah jasmina
aku telah melihat lelaki
diseksa didera
aku telah melihat anak-anak
disembelih dikelar seperti ayam

(dengan suara tertahan
dan terputus
dia terus bercerita
sambil kedua tangannya
menutup wajahnya yang lesu itu
bagaikan ingin menutup
kenangan pedih
dari kolam ingatannya)

akulah jasmina
sejarahku adalah masa depan


WAN A. RAFAR
Taman Adabi, Pasir Mas,
5 September, 1992

(Sajak ini pernah dibaca pada malam mengingati mangsa Perang Bosnia di Kota Bharu pada tahun 1992. Tersiar dalam majalah Perempuan, November 2005.)

4 Comments:

Blogger DI KULIT BUMI KARYA-MU said...

Salam, Sdr Wan A Rafar,
sebenarnya kita juga tidak berupaya
melawan takdir pada saat-saat takdir itu menerpa secara tiba-tiba!
ya,
secara tiba-
tiba!

Kita hanya dapat berdoa, dan
berdoa, dan
berdoa.

Dan
k
i
t
a
wajar menelan doa
dalam
reda
tanpa
mempersoal terangkat
atau terhempasnya
kerana kita
bukan siapa-spa
di sisi-Nya,
bukan?

10:08 PM  
Blogger Wan A. Rafar said...

Begitulah yang terjadi
kepada kita
umat Islam hari ini
kita tidak berdaya
melawan takdir.

6:17 PM  
Blogger DI KULIT BUMI KARYA-MU said...

Salam Sdr Wan A Rafar,
saya terkilan sebab Sdr tak dapat hadir semasa Pertemuan Sasterawan Nusantara tempoh hari. Semoga ada ketika lain yang memberikan keizinan. Insya-Allah.

Salam,
AMINHAD

7:51 PM  
Blogger Wan A. Rafar said...

Betul, saya tidak dapat hadir pada hari itu. Ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Mungkin jumpa pada kesempatan lain, Insya Allah.

1:29 AM  

Post a Comment

<< Home